SEJARAH M.RAMACHANDRAN


      M.Ramachandran telah dilahirkan pada 9hb.April 1966 di Panchor, Muar. Bapa beliau En.Murusamy A/L Thiruvengadam. Emak beliau Pn.Muniammal a/p Sinnappa Reddy.  Beliau merupakan anak ketujuh daripada sembilan orang adik beradik.  Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kota Raja Panchor, Muar dan melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Riayat Shah 1 Pagoh, Muar serta menamatkan alam persekolahannya di Maktab Adabi Maharani Muar.

        M.Ramachandran mempunyai sejarah tersendiri sebelum mampu bergelar juara dan menjadi atlit Malaysia pertama mencatat masa di bawah 30 minit dalam acara 10,000 meter.

      Beliau sejak kecil menghidapi penyakit asma. Beliau tidak dapat mengambil bahagian dalam sukan ketika beliau berumur 7 tahun. Walaubagaimanapun beliau tidak menghiraukan penyakit tersebut yang mengancam dan terus melatih dengan penuh gigih dan akhirnya penyakit asma yang dihidapi bertahun-tahun telah terus menyerah kalah dan hilang dengan sendirinya. 
    
      Segala-galanya berubah sewaktu beliau melanjutkan pelajarannya di sekolah menengah di mana suatu hari ketika beliau bermain bola sepak di padang Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Lanadron Panchor, seorang guru memerhatikannya berlari ke hulu dan hilir mengejar bola. Guru itu bernama En. Shahrom bin Suhaimi yang mengajar di sekolah menengah SARSI Pagoh. En Shahrom bin Suhaimi meminta Ramachandran berhenti bermain bola sepak dan menukar kepada olahraga. Di peringkat permulaan , Ramachandran tidak begitu berminat tetapi di atas  paksaan maka beliau cuba memberi perhatian pada sukan olahraga terutamanya acara 400m dan 800m.

    Ketika berusia 15 tahun beliau mewakili pasukan rumahnya dalam kejohanan sekolah di mana memenangi acara 800m. Sejak itu beliau tidak lagi bermain bola sepak dan meneruskan kariernya dalam acara 800m dan 1500m. Kejayaan beliau berterusan di peringkat daerah dan negeri. Ramachandran meneruskan latihan secara intensif di bawah bimbingan Encik Shahrom . Hasilnya, pada usia 16 tahun Rama sudah mula menunjukkan kehebatannya dengan memenangi 3 pingat emas di peringkat sekolah daerah, negeri dengan memecahkan rekod.

    Pada tahun 1985, Ramachandran telah memenangi 3 pingat emas di peringkat MSSM dalam acara 1500m,5000m dan   3000m lari berhalangan. Walaupun beliau adalah seorang juara di peringkat sekolah tetapi beliau hanya dapat menduduki tempat ke-5 dalam kejohanan olahraga kebangsaan. Semangat juang yang ada pada diri Rama membolehkan beliau memperbaiki kedudukannya dari tempat kelima kepada ketiga pada tahun berikutnya dalam kejohanan yang sama. Kehebatan Rama bermula pada tahun 1987 di mana di kejohanan olahraga kebangsaan beliau telah memenangi pingat emas pertama di peringkat kebangsaan dalam acara 5000m. Sejak itu, Rama hanya memberikan tumpuan pada  5000m dan 10000m hinggalah bersara pada tahun 2001. Beliau merupakan atlit tunggal Negara mempertahankan gelaran juara kebangsaan selama 15 tahun bagi acara 5000m dan  10000m.

   Ramachandran dipilih mewakili Negara ke kejohanan Olahraga Jemputan Raja Thai di Bangkok dengan memenangi pingat gangsa dalam kejohanan tersebut. Ini merupakan kejohanan pertama beliau mewakili Negara dengan mencatatkan masa 15:06.95. Prestasi Rama berterusan apabila beliau telah menjadi ahli kelab olahraga SWIFT Singapura di mana beliau telah banyak memenangi pertandingan di Singapura dan di sanalah beliau memecahkan angka 15 minit dalam acara 5000m dengan mencatatkan masa 14:57.55 di kejohanan olahraga antara kelab-kelab Singapura.

     Setelah Ramachandran bekerja dengan Maybank pada tahun 1987, beliau berlatih di bawah jurulatih En. R.Jeganathan sehinggalah bersara.  Pada tahun 1988 di kejohanan Olahraga SUKMA , Ramachandran telah memenangi 2 pingat emas dalam masa  yang sama beliau juga mencatatkan masa 14:38.61 dalam acara 5000m di Sukan SEA yang merupakan rekod baru dipilih mewakili Negara ke SUKAN SEA Kuala Lumpur. Di kejohanan olahraga terbuka Selangor pada tahun 1989, Rama telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 10000m dengan mencatatkan  masa 30:47.7. Di Sukan SEA, Ramachandran hanya mampu memenangi 2 pingat perak sahaja. Beliaiu dipilih mewakili Negara ke Kejohanan Padang dan Balapan ASIA di New Delhi, India dan di sana beliau telah menduduki tempat ke 4 dengan memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi dengan masa 30;05.95.

     Kehebatan Ramachandran bukan sahaja dalam acara trek tetapi beliau juga telah menguasai acara lebuhraya seperti 10km dan 21km dalam Negara sejak tahun 1990 hinggalah 2001. Kejayaan utamanya dalam lebuhraya ialah memenangi Larian Antarabangsa Jambatan Terengganu sebanyak 4 kali.Beliau juga memenagi Larian 10km INDOSAT di Jakarta sebanyak 2 kali. Sekurang-kuranganya lebih 100 larian lebuhraya di tanah air Ramachandran memenanginya.  Kejayaan yang dicapai di sepanjang tahun 1989 membolehkan Ramachandran dipilih sebagai Olahragawan Harapan Negeri Johor pada tahun 1989.

    Sejak tahun 1990 hinggalah 1992 prestasi Ramachandran tidaklah begitu memberangsangkan walaupun berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 3 kali dalam acara 5000m. Di Sukan SEA Manila Rama hanya mampu menduduki tempat ke-4 walaupun di Kuala Lumpur memenangi pingat Perak. Ramachandran tidak kenal erti putus asa di mana mulai tahun 1993 beliau dapat mengembalikan kehebatannya dengan memenangi banyak pertandingan .

    Kecemerlangan Ramachandran pada tahun 1993 adalah disebabkan oleh latihan yang dibuat di Melbourne, Australia selama 3 bulan (April-Jun 1992) di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Australia  En Tony Benson yang pernah melahirkan pemenang pingat emas sukan Olimpik. Di Australia, Ramachadran telah banyak mempelajari teknik  dan tektik larian . Hasilnya, beliau dapat mengembalikan semula prestasinya yang hambar selama 3 tahun.

   Bermulalah detik kecemerlangan di mana di Sukan SEA Singapura 1993 Ramachandran telah memenangi 2 pingat emas dengan memecahkan rekod Kebangsaan dan Sukan SEA dengan mencatatkan masa  14;08.97 (5000M) dan 30;05.09 (10000m) di mana rekod 5000m Sukan SEA masih kekal sebagai rekod Sukan SEA. Kejayaan Ramachandran di Singapura turut diraikan oleh seluruh ahli keluarga terutamanya ibunya yang pertama kali datang menyaksikan anaknya berlari walupun sudah lebih 10 tahun aktif dalam sukan olahraga. Kejayaan Ramachandran di kota Singa itu telah membolehkan beliau memenangi anugerah John Hancock. Sejak Sukan SEA 1993, Ramachandran menguasai kedua-dua acara itu sehingga tahun 1999 di mana secara keseluruhannya telah mengumpul 8 pingat emas dan 2 pingat perak di temasya Sukan SEA yang disertai. Beliau juga merupakan atlit pertama Negara mempertahankan gelaran pelari jarak jauh terbaik di Asia Tenggara selama 4 kali berturut-turut.

      Ramachandran dipilih mewakili Negara ke Kejohanan Olahraga Dunia di Stuttgart, Jerman di mana di sana beliau telah memecahkan rekod kebangsaan acara 10000m dengan mencatatkan masa 29:38.97. Beliau menjadi atlit pertama Negara berlari 10000m di bawah 30minit. Selepas itu beliau mengambil bahagian di Kejohanan Padang dan Balapan Asia di Manila di mana beliaiu telah memenangi pingat perak dalam acara 10000m. Di samping itu beliau juga telah memenangi banyak kejohanan olahraga jemputan antarabangsa di sepanjang tahun 1993.     

     Pada tahun 1993 Ramachandran telah dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan. Beliau juga merupakan penerima pertama anugerah Olimpian Terbaik Malaysia yang pertama kali diperkenalkan oleh Majlis Olimpik Malaysia. Secara keseluruhannnya, beliau telah memenangi anugerah Olahragawan Negeri Johor sebanyak 4 kali dan sekali anugerah Atlit Contoh Negeri Johor. 

     Di sepanjang kariernya, beliau telah mewakili Negara dalam  7 SUKAN SEA, 5 kali Padang dan Balapan ASIA, sekali kejohanan DUNIA, sekali SUKAN ASIA dan dua kali SUKAN KOMANWEL. Ramachandran adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 5000m dan 10000m manakala pemegang rekod Sukan SEA bagi acara 5000m sehingga ke hari ini.

    Pada tahun 2000, beliau telah mendirikan rumahtangga dan mengumumkan persaraannya untuk memberi laluan kepada atlit remaja mengambil alih tempatnya tetapi sehingga sekarang Negara gagal mencari penggantinya  di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. 

Beliau telah dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak  perempuan. Anak lelaki beliau R.Vikneswaran. Anak perempuan beliau ialah R.Keertana. Masing-masing berumur 10 dan 7 tahun. Isterinya Pn.S.Chitra turut menggalakkan Ramachandran untuk meneruskan kariernya sebagai jurulatih untuk melatih atlit-atlit remaja.

     Harapan dan keyakinan Ramachandran adalah anak perempuannya akan menjadi atlit berjaya seperti bapanya di masa akan datang. Segala kejayaan yang dicapai oleh Ramachandran adalah atas sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga dan majikannnya MAYBANK. Tanpa Maybank sudah pasti Ramachandran tidak dapat mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa.

       Rahsiah kejayaan beliau terletak di tangan kegigihan beliau dalam menjalankan latihan. Beliau tidak pernah tinggalkan latihan dalam apa keadaanpun. Beliau sentiasa mengganggap latihan itu sebagai pertandingan sebenar. Beliau mengganggap latihan itu sebagai ibadat yang mulia demi mengejar impiannya untuk muncul sebagai penakluk acara jarah jauh di pentas Asia Tenggara.
      
   Kejayaan dan kecemerlangan Ramachandran berakhir dengan menerima pingat dan bintang kebesaran iaitu AHLI MANGKU NEGARA (AMN) dan PINGAT JASA KEBAKTIAN (PJK).